Thursday, March 24, 2011

Peraturan lapuk akan dihapuskan untuk permudah pelaburan

Peraturan lapuk akan dihapuskan untuk permudah pelaburan


2011/03/24PUTRAJAYA: Peraturan yang lapuk dan tidak lagi relevan akan disemak untuk mempermudah pelaburan yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pelaburan purata sebanyak RM115 bilion setahun akan diperlukan di antara 2011 dan 2015 dengan sasaran bagi tahun ini sebanyak RM83 bilion.Daripada angka bagi 2011, RM76 bilion dijangka dijana oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP). "Untuk mempermudah pelaburan-pelaburan ini, penting bagi pelaksanaan perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta dipertingkatkan.

"Ini akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi mempermudah pelaburan," katanya dalam ucapannya pada Persidangan Kecekapan Sektor Swasta dan Kepenggunaan, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata, komitmen Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan atau
Pemudah mendorong kedudukan daya saing Malaysia dalam Laporan Perniagaan Bank
Dunia 2010 2010 meningkat dua anak tangga ke tempat ke-21 daripada ke-23 pada
2009.

Dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2010 terbitan Institusi Pembangunan
Pengurusan (IMD) 2010, kedudukan Malaysia meningkat ke tempat ke-10 daripada
ke-18 pada 2009.

Sementara itu, Kumpulan Tumpuan mengenai Kecekapan dan Kewibawaan Sektor Swasta yang ditubuhkan di bawah Pemudah lapan bulan lalu sudah mengkaji 19 isu dan kini sedang menyediakan 26 inisiatif.

Kumpulan itu mengkaji langkah-langkah yang boleh meningkatkan pelaksanaan
sektor swasta dari segi kepantasan, prestasi, kos dan daya harap.

Katanya, Tribunal Tuntutan Pengguna pula melalui pelbagai penambahbaikan termasuk mengurangkan bilangan hari bagi mendengar kes kepada 45 hari.

Penambahbaikan lain yang dicapai di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia
termasuklah tempoh singkat yang diambil bagi pendaftaran perniagaan iaitu sejam
dan tempoh sehari bagi penubuhan syarikat.

"Diharapkan impak inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan lagi Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan memperkukuh kedudukan daya saing Malaysia
di dunia ke tempat kelima menjelang 2015," katanya. - BERNAMA



View the Original article

No comments:

Post a Comment