Browsing "Older Posts"

Friday, June 27, 2014

Selangor Akhiri Cabaran Liga Super 2014 Hanya Ditempat Kedua

Shah Alam: Selangor menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan nota kekecewaan selepas sekadar seri 2-2 dengan pasukan tercorot, PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu sekadar berpuas hati bergelar naib juara selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki kelebihan satu mata sebelum perlawanan berjaya menewaskan Sarawak 1-0 di Kuching untuk muncul juara.
Dengan kegagalan itu, Selangor meneruskan kemarau tanpa sebarang trofi selepas kali terakhir menjuarai Liga Super pada tahun 2010.
Pada aksi malam tadi, dua jaringan penyerang import Selangor dari Brazil, Paulo Rangel membolehkan dia dinobatkan selaku pemenang kasut emas Liga Super dengan 16 gol sepanjang 22 perlawanan musim ini.
Tak mengalah
Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-21 selepas Rangel merembat masuk bola lorongan Andik Vermansyah dari sebelah kanan untuk menewaskan Remezey Che Ros di gawang PKNS FC.
Kelekaan barisan pertahanan Selangor kemudian membenarkan PKNS FC menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi penyudah Patrick Ronaldinho Wleh yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.
Namun hanya dua minit diperlukan Selangor untuk kembali mendahului 2-1 menerusi tandukan kemas Rangel selepas sepakan sudut Ahmad Hazwan Bakri.
PKNS FC kendalian jurulatih sementara, Anuar Abu Bakar bagaimanapun tidak mengalah dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-82 apabila pemain import dari Korea Selatan Kim Dong-chen mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Shukur Jusoh.

Sumber: https://my.news.yahoo.com/selangor-terpaksa-gigit-jari-190336205.html