Thursday, November 17, 2011

Perogol, peliwat kena pancung

JEDDAH: Tiga lelaki yang terdiri daripada seorang warga Arab Saudi dan dua warga Kanada dihukum pancung semalam di Jeddah selepas didapati bersalah merogol dan meliwat seorang pembantu rumah perempuan serta dua lelaki.

Tertuduh warga Arab Saudi, Badr Sami Al-Sudani, Ahmad Zain Ishaq dan Muhammad Bashir Hasan masing-masing warga Kanada dihukum bunuh selepas didapati bersalah merogol amah dan dua lelaki di sebuah rumah di daerah Al-Mushrefah, utara Jeddah dua tahun lalu, lapor Arab News.

Mengikut penghakiman mahkamah, kumpulan lelaki itu menyerang amah selepas beliau menjerit sebaik melihat penceroboh memanjat tembok rumah. Jenayah itu bertambah berat sebaik dua lelaki keluar dari bilik mereka selepas mendengar jeritan wanita. Penceroboh mengikat dan menyumbat mulut dua lelaki itu sebelum meliwat mereka. Ketiga-tiga lelaki itu memecah masuk rumah pada lewat malam.

Polis menyiasat kes itu dan menahan pesalah tidak lama kemudian. – Agensi


View the original article here

Askar Libya surai sengketa puak

PENDUDUK Al-Zahra di Warshefana meraikan tamatnya persengketaan antara dua puak, kelmarin.
PENDUDUK Al-Zahra di Warshefana meraikan tamatnya persengketaan antara dua puak, kelmarin.Pejuang Zawiya, Warshefana henti pertempuran selepas empat hari

TRIPOLI: Beratus-ratus lelaki berpakaian seragam yang dilaporkan sebagai askar baru Libya mencatat sejarah tersendiri selepas berjaya menyuraikan pertempuran berdarah antara pejuang bermusuhan selepas diarahkan bertugas buat kali pertama.

Tentera itu yang memakai seragam berwarna perang dan lencana pengenalan, dihantar untuk berkhidmat sebagai pengaman antara kumpulan lelaki bersenjata dari bandar Zawiya dan kawasan puak berhampiran, Warshefana. Pertempuran empat hari antara dua puak berkenaan yang meragut 13 nyawa adalah yang paling sengit sejak penangkapan dan pembunuhan Muammar Gaddafi bulan lalu.

Keganasan itu mencetuskan persoalan mengenai keupayaan pemimpin sementara Libya untuk mengekalkan pemerintahan selepas lapan bulan perang saudara.

Pegawai kanan Majlis Peralihan Nasional Libya, Abdel Hafiz Ghoga kelmarin berkata pertelingkahan sudah berakhir.

Beliau berkata anggota tentera nasional mengambil tempat antara Zawiya dan kawasan Warshefana, beberapa kilometer dari situ. Dari dua bandar itu, seseorang itu mengambil masa sejam untuk ke barat ibu negara, Tripoli.
Dalam pertempuran beberapa hari lalu, puak bersenjata terbabit melepaskan bedilan roket, mortar dan tembakan mesingan ke arah kedudukan musuh.

Di Warshefana, beberapa kediaman musnah teruk. Punca pertempuran belum jelas walaupun ada yang menuduh sesetengah penduduk Warshefana masih terikat dengan rejim lama.

Antara alasan dua puak itu bertempur ialah untuk mengawal sebuah bekas pangkalan tentera rejim Gaddafi.

“Anggota tentera nasional kini mengawal pangkalan, yang juga punca konflik,” kata Ghoga.

Kelmarin, ratusan askar baru itu dikerah ke kawasan antara Zawiya dan Warshefena. Mereka mengendali pusat pemeriksaan dan menggeledah kereta mencari senjata.

Ghoga berkata, unit dikerahkan pada Isnin itu adalah perintis dan tentera penuh bakal ditubuhkan hanya selepas kerajaan baru diumumkan Ahad depan. – AP


View the original article here

Wednesday, November 16, 2011

Radiasi jejas pertanian Jepun

SEBUAH kawasan ladang dan bangunan lengang dekat Okuma akibat pencemaran radiasi.
SEBUAH kawasan ladang dan bangunan lengang dekat Okuma akibat pencemaran radiasi.Pencemaran Caesium-134, 137 terlalu tinggi

TOKYO: Kawasan ladang di sebahagian tempat di Jepun tidak lagi selamat kerana tanahnya dilanda pencemaran tinggi radiasi ketika negara itu terus bergelut untuk pulih daripada bencana nuklear Fukushima.

Sepasukan penyelidik antarabangsa berkata, kadar pengeluaran makanan bermungkinan ‘teruk terjejas’ berikutan kadar caesium yang tinggi ditemui dalam sampel tanah di seluruh kawasan timur Fukushima timur berikutan loji nuklear yang dilanda tsunami, lebur. Kajian yang disiarkan dalam jurnal Laporan Akademi Sains Kebangsaan menunjukkan aktiviti perladangan di kawasan berdekatan juga mengalami pencemaran radiasi, walaupun tahap di sana masih lagi dalam had yang dibenarkan.

“Fukushima secara keseluruhannya sudah teruk tercemar terutama di sebelah barat laut loji kuasa nuklear itu,” kata penyelidik berkenaan.

Kajian itu meneliti pencemaran caesium-137 yang boleh mencemari sesuatu kawasan sekurang-kurangnya 30 tahun dan memberi kesan kepada alam sekitar selama beberapa dekad.

Had yang dibenarkan bagi kepekatan caesium dalam tanah membabitkan caesium-134 dan 137 yang biasanya dihasilkan bersama adalah 5,000 becquerel bagi setiap kilogram di Jepun.
“Wilayah sebelah timur Fukushima melebihi had ini termasuk beberapa wilayah berjiran seperti Miyagi, Tochigi dan Ibaraki yang sebahagiannya hampir kepada had tertinggi,” kata kajian itu.

“Tahap pencemaran yang dipantau dan dianggarkan di sebahagian barat Jepun tidaklah terlalu serius walaupun beberapa wilayah mungkin turut terjejas,” katanya.

“Pencemaran di kawasan berkenaan adalah di bawah 25 becquerel bagi setiap kilogram iaitu jauh di bawah kadar yang dianggap bahaya untuk pertanian.

“Walau bagaimanapun, kami amat mengesyorkan setiap wilayah segera mengambil sampel tanah di kawasan bandar untuk mengesahkan laporan kami.”

Kajian penyelidik itu menjangka, kadar pengeluaran makanan di wilayah timur Fukushima lebih teruk jika pencemaran caesium-137 melebihi 2,500 becquerel bagi setiap kilogram.

Ada juga berkemungkinan pengeluaran hasl tani di sebahagian wilayah jiran akan terjejas termasuk Iwate, Miyagi, Yamagata, Niigata, Tochigi, Ibaraki dan Chiba kerana mungkin mencatat tahap pencemaran lebih tinggi daripada 250 becquerel sekilogram,” katanya.

Kajian berkenaan diketuai Teppei Yasunari dari Persatuan Universiti Penyelidikan Angkasa dari Maryland, Amerika Syarikat.

Beliau dan anggota pasukannya menggunakan pemerhatian harian di setiap wilayah Jepun dan menggunakan model serakan zarah-simulasi komputer berdasarkan corak cuaca.

Jepun mengambil langkah berwaspada terhadap kesan radiasi sejak gempa bumi dan tusnami yang melanda timur laut negara ini pada 11 Mac, melumpuhkan loji kuasa nuklear Fukushima. – AFP


View the original article here

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner