Wednesday, November 16, 2011

Loya jirga 2011 tertutup

Karzai dituduh ada muslihat

KABUL: Presiden Hamid Karzai menghimpunkan pemimpin puak dari seluruh Afghanistan untuk membincangkan hubungan jangka panjang dengan Amerika Syarikat dan usaha mencapai keamanan di tengah ancaman keganasan, perhimpunan yang digelar ‘loya jirga’ bermula hari ini secara tertutup.

Kira-kira 2,000 pemimpin puak Afghanistan dijangka berkumpul dalam khemah gergasi selama beberapa hari untuk berbincang ketika tentera asing diketuai Amerika bersedia berundur secara berperingkat sebelum pengunduran sepenuhnya pada 2014. Diplomat di Kabul berpendapat, Karzai mungkin menggunakan rundingan untuk mendapatkan mandat penuh ketika meneruskan perjanjian kontroversi dengan Amerika mengenai hubungan strategik kedua-dua negara selepas 2014.

Ada pihak menganggap loya jirga kali ini tidak akan membantu keadaan sejak Afghanistan dilanda peperangan sejak beberapa dekad lalu.

Dasar berunding dengan Washington dan kurangnya ketelusan mengenai agenda semasa menyebabkan Karzai dituduh cuba memanipulasi loya jirga untuk kepentingan sendiri bukannya untuk menamatkan perang.

“Adalah lebih baik jika ia ditangguhkan, tetapi saya berasa jirga ini menjadi keperluan kepada Karzai kerana beliau tiada agenda politik khusus. Beliau tidak menangani isu besar,” kata penganalisis beribu pejabat di Kabul, Haroon Mir.
Seorang pesaing politik Karzai, Abdullah Abdullah, pemimpin Pakatan Kebangsaan bagi Memenuhi Harapan dan Perubahan Afghanistan, tidak mahu hadir. Begitu juga bekas sekutu Karzai, Abdul Rashid Dostum yang memulaukannya.

Kawasan loya jirga juga ditutup dengan anggota keselamatan memeriksa rumah dan meronda sekitar Kabul, kata Kementerian Dalam Negeri.

Pergerakan Taliban yang berjuang menentang pentadbiran Karzai dan tentera asing diketuai Amerika, mengancam mengganggu perjalanan loya jirga itu.

Pada 2010, mereka melancarkan roket ke acara terakhir perhimpunan itu, memaksa peletakan jawatan dua menteri yang bertanggungjawab mengawal keselamatan.

Militan juga mendakwa berjaya membocorkan pelan keselamatan acara itu Ahad lalu, walaupun pegawai Afghanistan dan Barat menyifatkan dokumen itu palsu.

Kelmarin, seorang lelaki disyaki pengebom bunuh diri yang membawa beg dipenuhi bahan letupan ditembak mati berhampiran lokasi loya jirga dan dua rakan subahatnya ditahan, kata pegawai.

Beberapa pemimpin yang menghadiri acara itu berkata, mereka diancam menerusi mesej teks dan bimbang untuk pergi. – AFP


View the original article here

No comments:

Post a Comment