Friday, December 5, 2014

Alvin Tan Hina Sultan Selangor

SHAH ALAM - Blogger kontroversi, Alvin Tan sekali lagi mengundang kemarahan rakyat di negara ini apabila telah memuat naik kenyataan yang menghina Sultan Selangor di dalam laman Facebooknya, semalam.

Kebiadaban Alvin yang mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik Darjah Kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendapat kecaman daripada NGO  Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

"Tindakan pemilik akaun Facebook itu bukan hanya tidak bertanggungjawab selain menunjukkan betapa ceteknya pemikiran beliau yang tidak memahami isu sebenar di sebalik penarikan tersebut.

"Pemilik akaun laman sosial itu tidak memahami bidang kuasa Sultan Selangor yang mempunyai hak prerogatif (hak istimewa) sama ada memilih atau menentukan untuk mengurniakan atau menarik kembali Darjah Kebesaran  daripada mana-mana individu," kata Yang Dipertua Perkasa Malaysia, Abu Bakar Yahya dalam satu kenyataannya.

Kira-kira sebelas jam lalu, blogger seks itu menimbulkan kontroversi baharu apabila telah menghina institusi Diraja Selangor secara terang-terangan dalam akaun Facebooknya.

Alvin, 26, dipercayai telah memuat naik kenyataan menghina Sultan Selangor itu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat berdasarkan catatan lokasi di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Alvin dihadapkan pertuduhan jenayah di bawah Akta Hasutan serta Akta Penapisan Filem kerana memuat naik posting bak kut teh pada bulan Ramadan tahun lepas dan gambar tidak berpakaian bersama pasangannya, Vivian Lee dalam sebuah blog.

Mengulas lanjut, Abu Bakar turut menyifatkan tindakan Alvin itu sebagai cubaan menghasut orang ramai untuk mencemarkan nama baik institusi Diraja itu.

"Tindakan Alvin ini jelas satu cubaan menghasut dengan menyimbah kata-kata nista yang dilihat mahu mencemarkan imej serta kedudukan raja-raja yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan kebudak-budakan ini jelas tidak memberi keuntungan kepada semua pihak bahkan kita khuatir sekiranya tiada tindakan dilakukan ia akan menggalakkan lagi kepada pelbagai siri-siri penghinaan terhadap institusi-institusi di bawah Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi jika benar penghinaan itu dilakukan oleh individu sama yang pernah mencetuskan kontroversi menyentuh sensitiviti umat Islam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sewajarnya menyiasat perkara itu dengan segera.

"Di samping itu juga, Perkasa Selangor akan membuat laporan polis dalam masa terdekat  supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.

"Semua pihak mesti menghormati bidang kuasa institusi beraja di negara ini serta perkara-perkara sensitif lain yang telah termaktub di dalam Perlembagaan," katanya lagi.

Sumber
http://www.sinarharian.com.my/semasa/hina-sultan-perkasa-selangor-kecam-alvin-tan-1.339399

No comments:

Post a Comment