Thursday, March 24, 2011

Manifesto BN Sarawak akan diumumkan selepas penamaan calon

Manifesto BN Sarawak akan diumumkan selepas penamaan calon


2011/03/24KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri ke-10 adalah 'ringkas dan mudah' dan akan diumumkan kepada orang ramai selepas penamaan calon, kata Pengerusi BN negeri dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya baru saja meneliti draf akhir. Ia ok, sangat ringkas dan mudah," katanyaselepas merasmikan Pameran Bangunan Perdagangan anjuran Institut ArkitekMalaysia Bahagian Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kandungan manifesto itu dipermudahkan untuk membolehkan anggota BN memahami dan
mengaitkannya dengan kawasan pilihan raya masing-masing.

"Di peringkat negeri, kami banyak kali berbincang mengenainya... asasnya sangat mudah hinggakan setiap anggota BN akan mendapati senang untuk mengaitkannya dengan kawasan pilihan raya mereka," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pencalonan pada 6
April manakala pengundian pada 16 April.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, BN Sarawak mengetengahkan slogan
'Sarawak yang Aman, Progresif dan Makmur' menerusi manifesto yang melakar masa
depan negeri, kisah kejayaan dan janji ke arah pengagihan kekayaan secara
saksama dalam kalangan semua kaum di negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBB dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu berkata, sebuah jawatankuasa khas sedang giat merangka manifesto berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa persiapan pilihan raya PBB di ibu pejabat parti itu di sini, Jabu berkata, meskipun beliau tidak menganggotai jawatankuasa khas itu, secara umumnya
manifesto BN Sarawak akan menyentuh tentang falsafah dan kejayaan di sebalik
perkembangan politik yang merangkumi potensi pelbagai peluang ekonomi di negeri
ini seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dan Hab Halal
Tanjung Manis.

Mengenai persiapan parti, beliau berkata, jentera pilihan raya BN di peringkat akar umbi sudah pun digerakkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perinciannya memandangkan ia adalah sebahagian daripada strategi pilihan raya parti komponen BN itu.

BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN, manakala DAP memperoleh enam
kerusi dan Parti Keadilan Rakyat serta Parti Cinta Malaysia (PCM) menerusi
seorang calon bebas, masing-masing satu kerusi.

Kali terakhir pilihan raya negeri diadakan di Sarawak ialah pada 20 Mei 2006. - BERNAMA



View the Original article

No comments:

Post a Comment