KUALA SELANGOR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin
Idris Shah mengingatkan seluruh lapisan umat Islam di negeri itu, supaya
sentiasa peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat kerana
dikhuatiri akan memecah belahkan keharmonian sejagat.
Baginda
bertitah jika semua pihak tidak bekerjasama memberikan maklumat
mengenai penyebaran ajaran sesat, pengaruhnya yang bergerak secara
kecil-kecilan pada mulanya dibimbangi mampu berkembang hingga sukar
dibendung.
"Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan
serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. Akibatnya, umat Islam
akan berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak
dihormati oleh masyarakat lain," titah baginda hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian sebelum merasmikan Masjid Ar-Ridhuan, Simpang Empat, Jeram di sini.
Baginda
turut menegaskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula perlu
memastikan penceramah dan tenaga pengajar berkenaan agama Islam
mempunyai tauliah yang diiktiraf, selain mematuhi peraturan dan garis
panduan yang ditetapkan.
Titah baginda, Jais juga perlu
mengawasi semua aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau supaya
penyebaran ajaran sesat dapat dipantau dan diambil tindakan serta merta,
sebelum gejala itu semakin berleluasa.
"Beta ingin
mengingatkan sekali lagi kepada pegawai dan anggota jawatankuasa masjid
serta umat Islam di daerah ini, supaya sentiasa berwaspada terhadap
mereka yang cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengembangkan fahaman
atau ajaran Islam yang sesat seperti difatwakan Jabatan Mufti dan Jais.
Laporan
atau aduan bolehlah dikemukakan kepada pegawai dan anggota jawatankuasa
masjid untuk dikemukakan kepada Jais atau berurusan terus dengan Jais,"
titah baginda.
Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di
negeri itu supaya menggunakan masjid dan surau sebagai tempat kondusif
untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments:
Post a Comment